Saturday, June 19, 2010

Ayat-ayat penggoda




Teguran, persepsi pertama beri pengaruh besar pikat wanita

MAJORITI lelaki mungkin mempunyai pengalaman tersendiri setiap kali cuba memikat atau dalam bahasa pasar, ‘mengayat’ si gadis. Sesetengah lelaki memang mahir dalam menyusun kata-kata untuk memikat wanita. Namun, ada juga yang yang tidak bernasib baik, sering saja ayat pikat memikat atau pick up lines yang digunakan tidak menjadi. Lebih malang lagi, ada antara ayat memikat yang dipilih itu membuatkan wanita terus lari atau menjauhkan diri.

Dalam usaha meraih perhatian wanita, lelaki terpaksa melakukan pelbagai perkara yang boleh membuatkan si dia suka atau jatuh hati kepada mereka.


Komunikasi tentunya menjadi langkah pertama untuk lelaki memulakan perkenalan atau menyatakan isi hati mereka kepada wanita. Untuk berkenalan atau menyampaikan isi hati pula, mereka perlu memilih ayat yang sesuai supaya wanita yang disasarkan memahami mesej yang cuba disampaikan.

Kata orang, tanggapan pertama adalah persepsi yang akan kekal dalam minda seseorang. Jika anda tidak mampu meraih minat dan perhatian wanita yang anda sukai, gagal menghibur atau membuatkan mereka teruja, besar kemungkinan wanita terbabit langsung tidak berminat dengan anda.


Di sinilah manfaatnya ayat memikat yang baik. Ayat pikat yang baik selalunya dapat membuatkan seseorang wanita sekurang-kurangnya tersenyum atau ’membuka jalan’ untuk seseorang lelaki mendekati diri mereka. Ayat memikat yang baik juga sedikit sebanyak menentukan bagaimana tanggapan awal seseorang wanita terhadap lelaki yang mengungkapkannya.

Jika ayat pikat yang digunakan berunsur romantis, lelaki mungkin akan dianggap romantik atau jika tidak kena gaya, mungkin juga boleh dianggap lelaki kasanova yang sering memikat ramai wanita.

Lelaki yang pandai berkias dalam ayat memikat mereka mungkin dilihat sebagai seorang yang bijak. Manakala mereka yang menyelitkan unsur jenaka dalam ayat memikat pula lazimnya dipandang sebagai seorang yang ceria dan kelakar.

Disebabkan itu, lelaki perlu mengelak daripada menggunakan ayat memikat yang tidak sesuai kerana ia boleh menyebabkan mereka dilabel seseorang yang bosan atau menjengkelkan.

Sebelum memikat, andai ada peluang, ada baiknya jika seseorang lelaki melihat dulu perwatakan wanita yang ingin dipikat dan ayat pikat yang yang mungkin dapat menambat perhatian mereka. Selain itu, mereka juga perlu belajar untuk menyusun ayat memikat yang bermutu supaya usaha merapati wanita idaman mendatangkan kejayaan.

Ayat memikat ringkas paling kerap digunakan di serata dunia. Tidak kira apapun versi bahasanya, ia berbunyi ‘macam pernah nampak saja’ atau macam kenal saja’. Ayat ini nampaknya masih dianggap relevan dan praktikal sehingga kini. Dipercayai, pada kebanyakan masa, ia berupaya mencetuskan perbualan antara kedua-dua pihak.

Bagaimanapun, seseorang lelaki perlu sentiasa berhati-hati dalam mengucapkan ayat memikat. Ini kerana sesetengah wanita tidak menggemari ayat sebegini, lebih-lebih lagi yang kedengaran bodoh, berlebihan atau terlampau terdesak.

Kadangkala, ayat memikat yang ringkas saja sudah memadai. Apabila ada maklum balas yang positif daripada wanita terbabit, barulah seseorang lelaki perlu memikirkan kesinambungan ayat memikat yang dapat memastikan hubungan itu berterusan.

Banyak idea ayat memikat yang boleh anda petik daripada dialog yang didapati dari filem, bahan bacaan seperti novel ataupun dari internet. Sebelum mempraktikkannya, elok juga jika anda berlatih terlebih dulu, sama ada merekod dan mendengarnya semula ataupun berlatih di depan cermin bagi menentukan ekspresi muka yang sesuai.

Namun, anda dinasihatkan untuk tidak sesekali menyentuh mengenai perkara sensitif seperti berat badan atau warna kulit dalam ayat memikat yang ingin anda gunakan, biarpun ia berunsur pujian. Maklum saja, ramai wanita yang sukar diduga tahap sensitiviti mereka. Kadangkala, pujian pun boleh disalah anggap sebagai kata memerli, justeru lebih selamat jika ia tidak digunakan dalam ayat memikat anda.

Paling penting, seseorang lelaki perlu tampil yakin ketika mengungkapkan ayat memikat kepada wanita dan pastikan ia kedengaran semula jadi. Tidak semua wanita mudah diambil perhatiannya melalui ayat memikat semata-mata. Kalaupun ayat memikat anda tidak berkesan, mungkin keyakinan yang ada pada diri anda itu sebenarnya yang dapat memikat hati si dia.


Contoh Ayat Memikat:

1) Jika kecantikan itu adalah waktu, kamu adalah keabadian.

2) Boleh tunjukkan saya jalan? Jalan ke hati kamu.

3) Kamu tidak sepatutnya bersolek. Ia melindungi kesempurnaan yang ada pada wajah kamu.

4) Tiada perkataan di dalam kamus yang dapat menterjemahkan kejelitaan kamu,

5) Ada sesuatu yang tidak kena pada telefon bimbit saya. Ia tidak menyimpan nombor telefon kamu.

6) Saya kehilangan nombor telefon saya. Boleh beri nombor telefon anda?

7) Tentu ada masalah dengan mata saya kerana ia tidak boleh berhenti daripada melihat kamu.

8) Jika kamu adalah air mata, saya tidak akan menangis walau sekalipun kerana tidak mahu kehilangan kamu.

9) Oh tidak...gigi saya sakit. Kerana kamu terlalu manis...

10)
Kamu seperti magnet kerana saya tertarik merapati diri kamu.


No comments:

Post a Comment