Friday, December 31, 2010

Nostalgia generasi Sime Darby



Pertemuan semula selepas 100 tahun

APABILA menyebut nama Sime Darby Bhd, pasti ramai mengetahui syarikat konglomerat multinasional yang bertapak kukuh di Malaysia dalam industri perladangan, hartanah, industri, automotif, tenaga dan prasarana serta kemudahan ini.

Kewujudannya di Tanah Melayu yang ketika itu dijajah British, meninggalkan sejarah yang panjang. tahun demi tahun, dekad demi dekad, syarikat konglomerat ini membangun kukuh hingga tersenarai dalam papan utama Bursa Malaysia Securities Berhad. Di sebalik kejayaan itu, mungkin ramai juga yang tidak tahu Sime Darby adalah hasil gabungan nama dua pengasasnya, William Middleton Sime dan Henry Darby. Namun, hanya selepas 100 tahun bertapak, generasi ketiga keluarga terbabit dipertemukan buat pertama kalinya, baru-baru ini sempena ulang tahun ke-100 syarikat berkenaan.

Penemuan yang membangkitkan nostalgia lama antara dua keluarga itu mendekatkan lagi hubungan kedua-dua keluarga. Lebih menarik, pertemuan bersejarah itu disertai balu kepada George Darby @ Bache Hassan (anak Henry Darby) iaitu Khadijah Hadi, yang buat pertama kalinya juga bertemu keluarga suaminya.

Generasi Sime diwakili Jeanett McComb (cucu Willian Middleton), ditemani sepupunya Sally Hunter, diterbangkan khas dari United Kingdom.

Mengimbau kembali kisah kasih antara Khadijah bersama anak lelaki tunggal Henry Darby, Khadijah bercerita, dia yang ketika itu berusia 29 tahun tertarik dengan sikap George yang cukup berpegang kepada agamanya sekali gus bertanggungjawab dalam menjaga kesejahteraan keluarga.
“Untuk memutuskan perkahwinan antara saya dengan George bukanlah keputusan yang sukar dicapainya berikutan lelaki itu sedia menunjukkan kematangan dan ketegasan terhadap agama dan berpegang teguh kepada setiap tindakannya.

“Di samping sikapnya yang menawan hati saya, kehadiran anaknya yang memujuk saya untuk menerima bapa mereka juga melembutkan hati saya hingga akhirnya bersetuju hidup bersamanya,” katanya.

Tersenyum menggamit kembali kisah hidup bersama mendiang suami, katanya, selepas British menyerah kalah, George hilang pekerjaannya dan menyebabkan mereka terpaksa bekerja keras untuk mencari rezeki membesarkan anak.

“Masa itu, saya dengan George bercekang mata demi menyediakan persiapan keluarga. Kami menjual kuih-muih dari kampung ke kampung, jadi segala persiapan perlulah dilakukan seawal pagi. Berjimat cermat dengan setiap sen yang ada untuk simpanan masa depan anak.

“Tapi pengorbanan itu cukup bererti buat kami berdua, berkat usaha keras semua anak kini berjaya. Pengalaman yang cukup indah buat saya bersama mendiang apabila kami turut sama melunaskan tanggungjawab tanpa sebarang keluhan,” katanya dengan suara yang cukup lembut.

Khadijah ketika ditanya mengenai perasaannya berjumpa dengan semua ahli keluarga Darby dan Sime, berkata tidak terungkap gembira perasaannya selepas sekian lama ternanti-nanti saat indah itu.

“Sudah tentu hati berbunga dapat bertemu dengan hampir seluruh keluarga George termasuk anak dan keluarga hasil perkahwinan pertamanya dulu. Ikatan darah keluarga tak akan boleh dicincang dan sebagai seorang ibu, saya bersyukur terhadap perjumpaan ini. Bukan mudah untuk kami menjejaki semula keluarga dan rakan yang ada,” katanya tersenyum manis.

Sementara itu, menantu tiri yang duduk bersebelahan dengan Khadijah dalam penemuan itu, Omar Abu Bakar, 71, juga tidak ketinggalan menceritakan kisah pendek mengenai bagaimana dia sering dimanjakan oleh George sejak usianya lima tahun.

Omar berkahwin dengan Saerah Bache, turut berkongsi cerita mengenai kehidupan bapa mentuanya itu sehinggalah George meninggal pada 1984.

“Banyak pengalaman sudah dilalui dan masih jelas dikotak fikiran ini bagaimana bapa George, Henry Darby, juga dikenali sebagai Harrie Darby yang sedang berang membaling kasut bot kepadanya.

“Kemarahan tercetus apabila George memeluk Islam pada usianya tujuh tahun sekitar 1920. Ketika itu, dia sering dijaga oleh pemandu keluarganya, Karim.

“Sehingga usianya mencecah 15 tahun, George jarang menjamu di rumahnya kerana khuatir mengenai isu halal. Perkara itu membuatkan ayahnya berang hingga akhirnya mengugut akan menghalau dia keluar dari rumah, tapi perkara itu disambut baik olehnya,” katanya dengan nada yang cukup beraksi.

Ceritanya, sekitar 1930 Henry yang kecewa dengan kehilangan anak tunggalnya mengambil keputusan untuk mengembara dengan kapal namun diserang penyakit jantung dan akhirnya rebah.

George meneruskan perjalanan hidupnya bersama Karim dan berkahwin dengan anak tiri Karim, Jariah sekitar 1937. Daripada perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga anak perempuan, termasuk Saerah, isteri saya.

Sementara itu, Jeanett McComb yang datang ke negara ini buat kali pertamanya sempena sambutan ke-100 itu berkata, dirinya langsung tidak menjangka syarikat konglomerat multinasional itu masih mengekalkan nama asal sedangkan bapanya sudah menjual semua saham dimiliki mereka.

Jelasnya, hasrat untuk meneliti lebih mendalam sejarah Sime Darby timbul selepas dia terbaca dokumen mengenai pembabitan mendiang bapanya John Middleton Sime dalam syarikat itu.

“Perkara yang paling menyentuh hati apabila mendapat tahu syarikat ini masih mengekalkan nama sama sedangkan keluarga kami sudah menjual seluruh saham yang ada apabila Malaysia bebas dari penjajahan dulu.

“Kemudian, saya mendapat tahu Sime Darby bakal menyambut ulang tahun ke-100 tahun ini dan saya bertekad menghantar surat kepada mereka. membuatkan saya bertekad untuk terus menghantar surat kepada pihak terbabit. Selepas beberapa tahun, akhirnya surat itu berbalas.

“Dalam masa sama, saya bersama anak buah terus berusaha mencari sejarah salasilah keluarga Darby dan kami mendapat tahu mereka masih tinggal di Melaka dan inilah hasilnya, Kami dua keluarga dapat bertemu dan saling mengenali,” katanya dengan nada yang cukup gembira.

Menceritakan mengenai sejarah keluarga Sime, Jeanett berkata, selepas datuknya, Willian Middleton pulang ke Scotland bersama isteri dan anak-anaknya, termasuk ibu Jeanett, mereka mengambil keputusan untuk mengusahakan ladang sebelum datuknya menghembuskan nafas terakhir sekitar 1943.

Sebelum itu, ayah saya bekerja di Shaw Darby, London, yang kemudiannya ditukar pada Sime Darby apabila dua syarikat bergabung pada 1926.

Katanya, ayahnya iaitu John Middleton Sime kemudian ditugaskan ke Bangladesh bagi menguruskan ladang teh Chinchula sebelum membuat keputusan untuk pulang dan bertapak di Scotland.

“Ketika menguruskan ladang teh Chinchula, ayah diminta untuk menyertai askar di sana memandangkan perang sedang berlaku dan ayah terus mengambil keputusan untuk pulang ke Scotland bagi membantu nenek menguruskan ladang,” katanya menamatkan kisah sejarah keluarganya.


INFO: Sime Darby
•Pada 1910, ketika Tanah Melayu dijajah dan diperah oleh British, ahli perniagaan British, William Middleton Sime dan Henry Darby menubuhkan Sime Darby & Co dalam sektor perladangan getah. Syarikat ini kemudiannya beralih pada kelapa sawit, koko dan pelbagai sektor lain.

William Middleton Sime ketika itu berusia 37 tahun adalah pengembara dari Scotland dan terbabit dalam perniagaan import eksport serta ladang kopi. Henry Darby pula berusia 50-an dan ahli perbankan. Beliau memiliki beberapa hartanah di utara Tanah Melayu.

2 comments:

  1. owh...mcm tu ke asal usul company sime darby nie..huhu...confirm sejarah dapat a nie..

    ReplyDelete
  2. nama masih kekal dan jadi rujukan utk masa akan datang.

    ReplyDelete